Tuesday, November 2, 2010

~Mengapa Wanita Memerlukan Lelaki?~

Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala.Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?

Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.

Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan
dia sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo.

Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya.

Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki.

Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.

Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.

Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.

Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.

Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.

Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita.

Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita, wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.

Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.

Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.

Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia.

Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.

Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua.

Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.

Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.

Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa.

Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.

Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai.

Semoga mereka tak tersalah pilih.

Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.

Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.

Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan Tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.
Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.
Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.

Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya.

Tetapi kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.

Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.

Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik..InsyaAllah...

~Jangan Takut Kahwin Awal~

Nota : Bagaimana seorang pelajar tahun akhir universiti yang hampir bunuh diri kerana depresi (tekanan) setelah ditinggalkan kekasih mengubah kehidupannya 180 darjah menjadikannya insan yang paling bahagia di muka bumi ini dengan perkahwinan di usia awal. Berikut adalah coretan terus dari hati dan mata pena beliau.

Saya berusia 21 tahun, dan sudah berkahwin. Masih muda bukan? Suami saya berusia 23 tahun. Juga masih muda. Kami berdua masih belajar. Jadi, mengapa berkahwin? Kalau ikut kata mak ayah, "Nak bagi bini makan apa? Pasir?"

Perjalanan cinta saya tidak mudah. Sebelum berkahwin, saya pernah teruk dikecewakan bekas kekasih. Dia minta masa 3 tahun dari tarikh kami 'declare', untuk bersedia untuk berkahwin. Hampir 3 tahun, saya ditinggalkan untuk perempuan lain. Kecewa? Sudah tentu. Jujur, saya hampir bunuh diri. Saya mengalami tekanan hidup sehingga tidak berhubung dengan dunia luar.

Tapi selepas itu baru saya sedar kehadiran suami saya yang sudah 4 tahun menunggu peluang. Pada mulanya, saya ingat sekadar 'cinta rebound', tetapi selepas 2 bulan berkenalan dan bercintan, suami saya melamar untuk berkahwin. Pada mulanya, saya ingat satu gurauan. Akhirnya si dia berani hubungi ayah saya dan minta izin untuk berkahwin kerana takut kehilangan saya lagi.

Ayah saya pun dahulu berkahwin ketika belajar; ketika beliau tahun 1 peringkat ijazah.

Suami saya pelajar perubatan tahun 3, dan saya cuma tinggal 2 bulan untuk mengakhiri pengajian. Ayah saya bersetuju memandangkan saya sudah kecewa, takut juga pisang berbuah dua kali. Akhirnya, kami berkahwin. Dengan mahar RM 200, sebentuk cincin emas, tiada hantaran, tiada majlis, kami bernikah.

Simple bukan? Kenapa perlu pening?

Kalau anda lelaki, anda mesti ingin berikan segala yang terbaik untuk bakal isteri anda.

Dan, kalau anda perempuan seperti saya, semestinya inginkan hantaran yang tinggi (lulusan ijazah sekarang, hantaran RM10K ke atas). Perlu tidak?

Maaf perempuan, kalau terasa. Saya bukan jual diri, saya tidak perlukan hantaran RM10-20K. Saya tidak letak harga untuk nilai diri sendiri dan harga cinta saya. Ini masalah kalau kita kahwin cara Melayu; bukan cara Islam.

Saya perempuan lulusan ijazah, saya ada tulang 4 kerat, dan saya boleh berusaha, kenapa perlu mengharap dengan lelaki? Suami bukan untuk dibebani, tapi untuk disenangi. Isteri bukan untuk dibeli, tapi untuk dikasihi.

Kos kahwin sekarang paling rendah pun RM20K serba serbi. Hantaran, majlis, belum baju, pelamin. Tapi cuba fikir, perlu tidak? Baju raya kan masih ada, cantik lagi. Kasut raya pun masih baru.

Kenapa perlu buat majlis di hotel, dewan orang ramai kan ada? Kalau rasa sangat mahal untuk katering, boleh upah orang masak, tinggal sediakan bahan dan peralatan. Bersanding tak perlu, buat penat badan duduk macam tunggul depan orang.

"Seganlah. Nanti orang kata apa."

"Isk, buat malu belajar tinggi-tinggi, tak dapat hantaran."

Hai, ni mentaliti Barat. Bagi yang beragama Islam, ingat rukun nikah.

Tanggungjawab selepas kahwin yang penting. Lebih baik duit sewa pelamin jadi duit persiapan untuk anak pertama. Prioritikan penggunaan duit anda. Kos bersalin bukan murah. Kalau di hospital kerajaan, paling kurang perlu ada RM400-500. Tapi di hospital swasta, minimum RM2000. Kos ada anak sangat tinggi sekarang.

Pernah cuba lihat harga setin susu bayi di pasar? Harga lampin pakai buang? Dan sekarang, anda masih terfikir pelamin itu penting? Ini tak kira duit nak beli kenderaan, beli rumah. Pening!!

Jadi jangan bebankan diri anda dengan majlis perkahwinan yang membazir dan tidak perlu.

Saya bahagia sekarang. Boleh keluar dengan suami tanpa rasa takut dan malu, disentuh lelaki bukan mahram. Dan suami saya tidak perlu takut saya diambil lelaki lain seperti dahulu. Apa semua yang pasangan bercinta lakukan, kini kami lakukan dengan halal. Dan kami boleh lakukan lebih dari itu, dengan halal. Tidak perlu risau. Kami aman dan bahagia. Saya dan suami masih bercinta. Masih belajar mengenal sesama sendiri. Dan percayalah, tak guna bercinta lama-lama.

Seganlah keluar dengan pasangan yang tidak halal untuk anda. Saya dan suami, masih seperti pasangan yang baru bercinta. Saya mampu tanggung hidup sendiri, kerja dan cari duit sendiri. Buat apa menyusahkan suami? Dan suami berusaha belajar bersungguh-sungguh (bagi pelajar perubatan, anda faham maksud saya), untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Saya tahu ego lelaki tercabar, tetapi saya jujur cintakan suami saya. Saya tak ingin jadi beban, cukup asal dia berasa senang dengan saya.

Tidak perlu nafkah yang besar, semampu yang ada saya terima.

Bakal-bakal isteri sekalian, bersyukurlah dengan suami anda. Dan bakal-bakal suami sekalian, hargai isteri kamu. Terima kekurangan dan kelemahan pasangan anda. Persamaan membina keserasian, perbezaan itu melengkapkan.

Rezeki Tuhan ada di mana-mana. Jangan putus asa. Berkahwinlah! Semoga anda semua merasa tenang dan bahagia.